Lina* berusia 36 tahun apabila dia mula kerap berasa letih. Bangun pagi adalah satu perkara yang sangat sukar untuk dilakukannya. Akauntan yang dahulunya bertenaga ini juga mula mengalami kenaikan berat badan walaupun mengamalkan tabiat makan yang tetap dan bersenam. Lina tahu ada sesuatu yang tidak kena lalu dia berjumpa doktor. Selepas menjalani ujian darah, dia mendapati masalahnya berpunca dari kelenjar tiroid di dalam lehernya.
Seperti Lina, ramai wanita menderita dengan hipotiroidisme tanpa disedari. Malah, wanita lebih cenderung untuk mengalami masalah tiroid berbanding lelaki. Malangnya, apabila anda mempunyai gaya hidup yang sibuk sebagai wanita berkerjaya, ibu, isteri atau nenek, memang mudah untuk menganggap tanda-tanda dan simptom-simptom hipotiroidisme sebagai kesan daripada tekanan.
Jika anda selalu berasa tidak sihat, pergilah berjumpa doktor. Hanya satu ujian darah yang ringkas diperlukan untuk menentukan sama ada tiroid anda berfungsi dengan normal. Namun, jangan putus asa jika anda didapati menghidap hipotiroidisme! Rawatannya mudah, tidak menyakitkan dan anda boleh kembali menjalani hidup seperti biasa tidak lama lagi.
*Bukan nama sebenar pesakit
Rujukan:
Melmed S, Polonsky KS, Larsen PR, Kronenberg HM. William’s Textbook of Endocrinology. 12th ed. USA: Elsevier Saunders; 2011.