Skip to content

Transform Your Life Kempen Hipotiroidisme Dilancarkan

Kami telah melancarkan Transform Your Life!

Subang Jaya, 11 Ogos 2015 – Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS) dan Merck Malaysia melancarkan “Transform Your Life”, sebuah kempen kesedaran kesihatan, untuk menggalakkan orang ramai menjalani pemeriksaan dan, jika perlu, mendapatkan rawatan untuk hipotiroidisme. Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi kesihatan jangka panjang yang serius.

Kempen ini dirasmikan oleh Datin Dr Nor Akma Yusuf, Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, yang mewakili Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, Malaysia. Yang turut hadir adalah Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, Presiden MEMS, dan Frédéric Fack, Pengarah Urusan Merck Malaysia.

Transform Your Life hypothyroidism launched

(Dari kiri) Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin (Presiden Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia), Datin Dr Nor Akma Yusuf, (Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia) dan En. Frederic Fack (Pengarah Merck Malaysia) semasa pelancaran poster pada majlis pelancaran kempen.

Menurut Profesor Nor Azmi, tiroid adalah sejenis kelenjar berbentuk seperti rama-rama di depan tekak kita. Ia bertanggungjawab untuk menghasilkan hormon tiroid yang mengawal metabolisme, kesihatan seksual, fizikal dan kesejahteraan emosi.

Adalah dianggarkan bahawa kira-kira 300 juta orang di seluruh dunia menghadapi masalah tiroid, dan masalah ini biasanya membawa kepada situasi berlebihan atau kekurangan penghasilan hormon tiroid.

Hipotiroidisme adalah penyakit di mana hormon tiroid yang dihasilkan tidak dapat memenuhi keperluan tubuh. Hipotiroidisme sangat lazim berlaku dan masalah ini mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kewujudan sesetengah antibodi yang menyebabkan sistem imun menyerang kelenjar tiroid, pembedahan tiroid, rawatan radiasi, kekurangan iodin di dalam diet dan juga sesetengah ubat-ubatan.

Profesor Nor Azmi berkata bahawa hipotiroidisme mengganggu fungsi tubuh. “Hipotiroidisme yang tidak dirawat mungkin menyumbang kepada paras kolesterol yang tinggi dan tekanan darah tinggi, goiter dan kemurungan yang teruk. Hipotiroidisme yang tidak dikawal ketika kehamilan boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan masalah-masalah pembelajaran dan perkembangan yang terbantut,” tambah beliau.

Profesor Nor Azmi menambah bahawa hipotiroidisme agak mudah dirawat. Namun, ramai orang terus menderita kerana tidak tahu mereka mempunyai masalah ini walaupun mengalami simptom-simptomnya.“Hipotiroidisme mungkin menyebabkan simptom-simptom seperti keletihan yang kronik, sembelit, sentiasa berasa sejuk, kenaikan berat badan secara mendadak, kurang keinginan seksual dan kemurungan. Oleh kerana simptom-simptom ini tidak spesifik, ramai orang menganggap ia berpunca daripada tekanan hidup, gaya hidup yang tidak sihat atau usia yang lanjut,” katanya.

Profesor Nor Azmi menyeru pesakit yang berisiko untuk melakukan ujian darah yang mudah untuk mengesan hipotiroidisme. Ini termasuklah semua wanita dewasa (terutamanya bakal ibu dan mereka yang sukar hamil), individu berusia lebih 50 tahun, pesakit diabetes Jenis 1 atau penyakit-penyakit autoimun yang lain, dan sesiapa sahaja yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit tiroid.

Getting tested for hypothyroidism

Menjalani saringan: En. Frederic Fack (sedang duduk, Pengarah Merck Malaysia) membuat saringan kesihatan percuma sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Datin Dr Nor Akma Yusuf (Kementerian Kesihatan), Dr Arif Shahar, Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin dan Profesor Dr Norlela Sukor (Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia).

Beliau berkata: “Melalui kempen ‘Transform Your Life’, kami berharap dapat mendidik orang ramai mengenai simptom-simptom hipotiroidisme dan menggalakkan mereka untuk menjalani pemeriksaan supaya boleh mendapatkan rawatan secepat mungkin.”

‘Transform Your Life’ menampilkan pelbagai aktiviti seperti ujian fungsi tiroid secara percuma, pengedaran poster dan risalah melalui hospital dan klinik, laman web pendidikan dan inisiatif media sosial.

Bercakap bagi pihak Merck Malaysia, Frédéric Fack menyatakan bahawa syarikat tersebut gembira untuk menyokong kempen ini, “Merck mempunyai komitmen jangka panjang kepada rawatan penyakit-penyakit tiroid dari tahun 1894 ketika ubat tiroid pertama kami dilancarkan”.

“Pada 2009, kami bekerjasama dengan Persekutuan Tiroid Antarabangsa (TFI) untuk melancarkan Minggu Kesedaran Tiroid Antarabangsa (ITAW), yang kini telah menjadi kempen kesedaran global yang berjaya dan diterima dengan baik. Sejak itu, kami setia menyokong ITAW setiap tahun.

“Melalui usahasama dengan MEMS dalam ‘Transform Your Life’, kami akan membantu meningkatkan kesedaran mengenai hipotiroidisme di Malaysia dengan harapan untuk mengurangkan penderitaan yang tidak sepatutnya dihadapi oleh ramai orang setiap hari,” katanya.